Friday, December 23, 2016

Hat Yai

Minggu lepas kami berpeluang ke Hat Yai. Hanya beberapa hari sebelum balik kampung di Kedah pada hujung minggu, kami mengambil keputusan untuk ke utara seterusnya merentasi sempadan. Hanya 1 malam sahaja di Hat Yai.

Oleh kerana kesibukan pada masa ini, saya hanya catatkan tips yang saya rasa berguna untuk sesiapa yang mencari panduan ke Hat Yai.

Kami ke sana dengan menaiki kereta yang disewa berserta pemandu. Harganya 800 bath, iaitu sekitar RM100 pada masa ini. Harga tukaran yang kami dapat di Danok adalah 7.88 bath bagi setiap ringgit. Di Hat Yai, jumlah tukaran adalah 7.98. Jumlah ini adalah sangat mahal berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Tips:

Merentasi sempadan:

  • Pada musim cuti sekolah, eloklah bertolak seawal pagi ke sempadan. Atau lewat petang kerana pada masa ini, jumlah orang yang hendak merentasi sempadan telah berkurangan.
  • Bagi yang tidak membawa kereta, tempat letak kereta adalah di belakang Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam. Ia terletak selepas checkpoint pemeriksaan kastam Malaysia.Kami tidak begitu perasan di mana sepatutnya kami boleh meletak kereta sebelum pergi. 
  • Kami telah terlepas satu-satunya pintu masuk ke kompleks tersebut, dan kami tidak menemui mana-mana tempat lain untuk meletak kereta selepas itu. Trafik sangat perlahan dan pada masa itu kami berada di laluan kanan. 
  • Apabila terlepas, kami telah bertanya beberapa pegawai kastam Thai yang jawapannya tidak membantu langsung. Mereka hanya menunjukkan isyarat menyuruh kami ke depan. 
  • Tiba-tiba kami dapati kami telah melepasi sempadan apabila melihat banyak kedai-kedai bertulis bahasa Thai yang tidak kami fahami. Adalah beberapa tulisan rumi yang bertulis Danok / Dannok. Oh.. nampaknya kami telah memasuki sempadan tanpa kebenaran.. kalau ikutkan hati ingin saja terus memandu ke Hat Yai. Tapi kalau kena tangkap, teruklah melancong & menginap di Balai Polis. Dengan berat hati, dan perasaan yang agak aneh juga dengan sistem sebegitu, kami kembali semua ke Malaysia dengan terpaksa melalui lagi sekali jalan yang sangat sesak untuk masuk ke kawasan kompleks bagi meletak kereta. 
  • Elakkan 'ulat-ulat' yang banyak menawarkan khidmat mengecop pasport dengan segera dengan membayar sejumlah wang.
  • Agen kereta sewa mendesak untuk menuliskan kad arrival & departure. Mereka minta RM2.00 bagi setiap kad yang mereka tuliskan. Bengang juga kami di sini.


Tukaran wang
  • Oleh kerana kadar Ringgit yang jatuh pada masa ini, terasa juga yang ke luar negara bukanlah pilihan melancong yang baik. 
  • Boleh tukar duit di Danok atau Hat Yai. Danok adalah daerah atau bandar kecil yang terletak sebaik sahaja melepasi sempadan ke Thai. 
  • Tak perlulah risau untuk menukar duit kesemuanya di Danok. Kami mendapati harga tukaran di Hat Yai lebih kompetitif.
Tempat menginap
  • Sekiranya tujuan hanya di pusat bandar, makan-makan dan membeli-belah, eloklah cari hotel di sekitar Lee Garden Plaza Hotel. Antaranya ialah Centara Hotel dan Grand Plaza Hotel. 
  • Menginap di kawasan sekitar ini lebih memudahkan pergerakan untuk mencari makanan dan membeli belah. Ini dapat menjimatkan kos perjalanan Tuk-Tuk dari satu tempat ke tempat yang lain. 
  • Tambahan pula, di sekitar kawasan ini terdapat banyak gerai-gerai di sebelah petang dan malam. Sekiranya, mak-mak ingin bershopping, bolehlah anak-anak dan bapak-bapaknya tinggal berehat di hotel. Anak-anak memang tak enjoy bandar Hat Yai kecuali makanannya.
  • Oleh kerana hotel-hotel berdekatan telah penuh ditempah mengikut kata booking.com, agoda dan trivago, terpaksalah kami menempah hotel yang agak jauh, iaitu sekitar 1.5 km menurut google map.
  •  Kami tinggal di Winstar Hotel. Statusnya lebih kurang 3 bintang. Kami ambil 2 bilik double standard kalau tak silap. Hotelnya tidak begitu besar. Stafnya ramah dan baik. Katilnya besar boleh memuatkan kami berenam. Harganya RM253 bagi kedua-dua bilik. Kadarnya sangat murah berbanding hotel taraf yang sama di negara kita.
  • Di sini tiada disediakan cerek dan alat minuman, tetapi boleh minta flask air panas di kaunter lobi.


Tempat membeli belah yang murah
  • Bila ditanya tempat shopping yang murah, seorang pemandu tuk-tuk mencadangkan untuk ke tempat yang dipanggil Bazaar. Kami tak tau nama sebenarnya kerana papan tandanya semuanya menggunakan tulisan Thai. Dia juga kata boleh juga ke 'Kim Yong'. Tetapi lebih murah di Bazaar. 
  • Kami ke sana dengan menaiki tuk-tuk dan menyatakan "Bazaar" kepada pemandu.
  • Bangunannya seperti bazar lama di negara kita. Mungkin seperti pasar Payang di Terengganu. Pelbagai barang dijual seperti beg, kasut dan pakaian.
  • Cuma, the low point is, ianya terlalu sesak dengan pelbagai barang, suhunya panas. Sebaik melangkah masuk ke sini, anak-anak terutama Ammar yang mulakan, this is boring.. mereka pun sepanjang masa kami di situ minta balik saja.. huhu maknya pun tak sempat nak shopping apa pun.. adalah serba sikit seluar jeans Ainaa dan Ilhan, serta beg pakaian yang cadangnya untuk Farhan ke asrama. Bapak pun terpaksa melupakan hasrat nak beli wallet ..
  • Tentang harga, bila kami bandingkan sekali imbas dengan harga di sekitar Lee Garden, di Bazaar ini lebih murah. Cuma yang saya malas adalah tawar-menawar. Cuba tawar sekitar 25% dari harga yang dinyatakan. Range harga antara gerai ke gerai kami dapati sangat besar. Untuk kami yang membawa anak-anak kecil ini, memang tiada masa untuk membanding harga, mana yang jumpa, tanya, tawar kalau boleh, dan beli sajalah. 
  • Kualiti barang baik saya kira berbading harga. Cuma saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi pendapat, saya tak begitu biasa membeli barang-barang dari Thai. Adik beradik dari Kedah kata, kualitinya sangat baik sungguhpun tiruan dan tahan lama.
Makanan
  • Semasa sampai, saya asyik berfikir, apalah yang specialnya dengan bandar yang menjadi kunjungan ramai rakyat Malaysia ini. Rupanya idak lah cantik - kecuali rasanya kalau kita ke luar bandar seperti pantai dsb. Jawapan yang dapat saya simpulkan adalah makanannya!
  • Terdapat pelbagai makanan yang saya dan anak-anak rasa sangat sedap.. tak boleh jumpa di Malaysia rasanya huhu..
  • Yang paling win sempat kami rasa adalah tomyam dan nasinya, udang goreng, pulut mangga. 
  • Kami makan di Restoran Salma. Ia terletak betul-betul di belakang Lee Garden Plaza. Harganya, saya rasa lebih kurang harga makanan di Malaysia. Cuma kualitinya jauh lebih baik. Contohnya, semangkuk tomyam untu 3-4 orang makan, harganya sekitar RM30 dengan pelbagai udang, sotong dan sayuran yang segar rasanya. Kangkung belacan dan kailan ikan masin juga sangat sedap dengan saiz pinggan besar. Anak-anak menghabiskan sayur-sayur kesemuanya. Ammar kata, inilah yang tersedap pernah dia makan.. huhu Ammar memang selalu exaggerate.. 
Perjalanan atau pergerakan dari tempat ke tempat
  • Bagi yang tidak memandu sendiri ke sini, boleh menaiki tuk-tuk, sejenis pengangkutan dalam bandar yang terkenal di sini.
  • Comel je rupanya. Ia merupakan lori kecil yang diubah suai.
  • Mak dan bapak risau sungguh naik tuk-tuk ni.. Bimbang terjatuh ke.. tapi anak-anak, Ilhan pun, nampaknya suka sangat. Jadi satu daripada yang menyeronokkan untuk anak-anak selain makanan di sini adalah pusing bandar dengan tuk-tuk.
  • Harganya, 20 bath (RM2.50) seorang bagi kawasan dalam radius 4 km dalam bandar.  Jadi ada yang caj kami 120 bath termasuk Ilhan, ada yang caj 80 bath sahaja. 
  • Bolehlah menawar harga dengan pemandu, kalau-kalau mereka boleh kurangkan sedikit harga, terutamanya bila bawa anak kecil.



Khlong Hae Floating Market
  • Tempat yang katanya tidak boleh tidak bila sampai ke sini. 
  • Di sini, terdapat sebuah sungai, yang mana perahu berbaris di tepi sungai untuk menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Saya kira ia seperti di Istanbul, yang mana tradisinya dikekalkan sebagai satu tumpuan pelancong.
  • Bagaimanapun, mungkin kerana cuti sekolah, orang sangat ramai. Saya kira yang pembelinya nampaknya orang dari Malaysia sahaja dan masyarakat penjualnya adalah dari Thai.
  • Oleh kerana itu, masa yang diambil adalah sangat lama untuk membeli sesuatu barang.
  • Kami hanya sempat membeli udang goreng tepung sahaja dari penjual perahu. Sangat sedap rasanya. Berbaluilah juga penantian.. Yang lain kami beli di warung-warung lain yang terletak di darat.
  • Pengangkutan ke sini juga ialah tuk-tuk. Kami naik dari Lee Garden. Harganya 500 bath untuk pergi dan balik. Pemandu menghantar kami ke sana dan sekitar 1 jam setengah kembali semula. Tetapi pemandu lewat datang, sehingga hari gelap. Mungkin rasa bersalah melihat anak-anak dan saya menyusukan Ilhan, dikurangkan harga kepada 400 bath sahaja.
  • Bayaran dibuat semasa pulang. 








Itulah sahaja catatan ringkas untuk perjalanan yang memang ringkas pun. Mungkin dalam tempoh 24 jam, pemerhatian saya tidak begitu tepat. Untuk menikmati tempat ini dengan lebih baik, saya kira perlu tinggal di sini sekurang-kurangnya 2-3 malam. 

Lebih baik juga dan kos akan lebih murah sekiranya membawa kereta sendiri apabila membawa ramai anak-anak bilis seperti kami. Cuma ada pegawai kedutaan menasihatkan agar mendapatkan nombor hubungan pejabat kedutaan untuk mudah berhubung sekiranya terdapat sebarang masalah.