Kami bertolak dari rumah lebih kurang pukul 8.30 pagi, melalui lebuh raya PLUS, keluar melalui tol Changkat Jering, singgah makan sebentar di Pantai Remis, dan sampai di jeti Pulau Marina pada pukul 12.35 tengah hari. Oleh kerana feri dijadualkan sejam sekali, kami bergegas mengejar feri pukul 1, setelah meletak kereta di tempat letak kereta yang agak luas. Sungguhpun musim cuti panjang, tidak lah suasana terlalu sibuk.
Lebih kurang 10 minit menaiki feri, kami tiba di jeti Pangkor. Khabarnya melalui jeti Lumut akan mengambil masa 40 minit. Oleh kerana kami tidak begitu gemar menaiki feri, apatah lagi dengan membawa Ilhan, kami memilih untuk terus ke Jeti Marina.
Di Pangkor, ramai pemandu teksi dan pemilik kereta sewa menunggu penumpang. Jadi pengangkutan tidak menjadi masalah di sini. Kami mengambil teksi, yang berupa van berwarna merah jambu untuk ke penginapan yang telah ditempah sehari sebelumnya. Kosnya RM17. RM2 adalah untuk barang kata pemandu. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit ke Purnama Beach Resort, yang terletak di Teluk Nipah. Teluk Nipah merupakan kawasan yang memang menjadi tumpuan di pulau ini.
Tiba di Purnama, sekitar pukul 2. Sementara menunggu bilik untuk check-in, anak-anak menukar baju renang dan terus bermain air di kolam di tengah-tengah resort. Kami dibenarkan check-in pada pukul 2.45 petang.
Usai berehat sebentar, kami keluar berjalan-jalan di pantai yang letaknya hanya di seberang jalan berhampiran Purnama. Di sepanjang pesisir pantai, pelbagai jualan makanan, cenderahati dan juga pelbagai perkhidmatan bot dan permainan. Meriah sungguh.
Kemudian kami mengambil keputusan untuk mengambil perkhidmatan bot mengelillingi pulau-pulau berdekatan. Kosnya RM80. Walaupun masa agak suntuk menghampipri pukul 5 petang, kami tiada masa yang lain yang lebih sesuai. Bergegas kembali ke bilik, menukar baju renang, mengambil makanan yang patut untuk Ilhan, kami segera ke bot yang menunggu di pantai.
Jadi petang itu kami touch and go sahaja mengelilingi beberapa pulau dan pemandu bot menunjukkan batu-batu pelbagai rupa. Kami menghabiskan masa lebih kurang sejam di Coral Island untuk mandi-manda di pantainya yang landai. Anak-anaklah yang paling seronok...
Pukul 6.20 petang, kami pulang ke Pangkor kembali. Abang kakak menyambung mandi di pantai Pulau Nipah sambil melihat matahari tenggelam dan sambung mandi kolam sebentar sebelum kembali ke bilik.
Malamnya, kami mencari kedai untuk makan malam. Harapannya ingin makan makanan laut. Namun oleh kerana kami dah lewat, dan ramai yang kelihatan menunggu makanan tiba di kedai-kedai, kami menempah makanan di Purnama sementara menunggu di bilik. Harga pakej menunya agak murah, saya kira. Set makan malam dengan tomyam, siakap yang agak besar, sayur campur dan potongan buah untuk 3 dewasa dan 2 kanak-kanak hanyalah RM65. Bagaimanapun rasanya tidaklah begitu sedap pada kami. Hampir 10.30 malam baru kami kembali ke bilik. Mujurlah Ilhan masih belum mengantuk.
Di sekitar pantai, banyak gerai-gerai menjual pelbagai barang. Sempat juga saya membeli sepasang baju untuk saya sendiri. Semasa saya melihat-lihat di gerai, pemilik gerai dikunjungi seorang yang saya rasa 'along' meminta hutang tetapi tidak dapat dibayar. Kasihan pula saya melihatnya. Saya membayar sahaja harga baju dan seluar yang saya beli tanpa menawar.
Bagaimanapun, kalau ingin membeli, eloklah dibanding dengan harga di gerai-gerai yang lain. Saya dapati pbezaan harga sangat ketara.
Terdapat juga kedai runcit di tepi pantai. Harganya tidaklah begitu tinggi berbanding dengan di tanah besar. Jadi, penginapan di Teluk Nipah sangat strategik dan tidak perlu menyewa kereta kerana hampir semua keperluan boleh didapati di sini.
Hari kedua, kami ke pantai. Saya mengambil peluang berenang dengan anak-anak. Dah lama sangat saya tak berenang. Rasanya kali terakhir adalah semasa 4 bulan mengandungkan Ilhan. Sekitar 10 pagi, kami balik ke bilik, tidurkan Ilhan sambil mengemas untuk check out pukul 12.
Dari Purnama, kami mengambil teksi untuk melawat sekitar pulau. Kami dibawa melalui hutan dan bukit, melihat kawasan perumahan penduduk tempatan, Kota Belanda, Taman Foo Lin Kong dan juga pusat jualan hasil laut seperti bilis dan sotong kering. Rajin pemandu trip bercerita tentang kehidupan di Pangkor. Ada juga dia menunjukkan kemudahan dan resort yang dibina kerajaan namun sayangnya tidak digunakan. Kami juga melihat perkampungan nelayan, masyarakat Melayu dan Cina di pulau itu. Terdapat juga homestay di kawasan perkampungan nelayan. Mungkin kalau datang lagi, dan kakau ingin melihat sisi lain Pangkor, bolehlah tinggal di homestay sebegini.
Sesungguhnya, 1 malam adalah sangat singkat untuk menjelajah Pangkor. Seeloknya, rancang sekurang-kurangnya 2 malam, mungkin boleh merasai nikmat kehidupan di sini. Bagaimanapun, perjalanan singkat di sini sangat bermakna terutamanya kepada anak-anak.
2 comments:
salam dari jakarta
terimakasih
https://marketing.ruangguru.com/uji
seru yaaa
Atur Finansial
Pinjam Uang
Ajukan KTA
Pinjaman Perbankan
KTA
Ahli Finansial
Info Finansial
Info Perbankan
Post a Comment